Friday, December 14, 2007

Harga Sebuah Penghormatan

Seorang pemuda masuk ke dalam sebuah kedai makan, memesan makanan.
Tidak beberapa lama kemudian, pesanannya datang.

Saat pemuda itu hendak menikmati makanannya, datanglah seorang anak
kecil lelaki menjajakan kuih padanya, "Bang, mahu beli kuih, bang ?"

Dengan ramah pemuda yang sedang makan itu menjawab "Tidak, saya
sedang makan".

Anak kecil tersebut tidak putus asa dengan cubaan pertama.

Dia menunggu sampai pemuda itu selesai makan, lalu dia tawarkan lagi
kuih dagangannya, "Bang, mahu beli kuih, bang ?"

Pemuda tersebut menjawab, "Tidak dik, saya sudah kenyang."

Lalu, pemuda itu membayar di kaunter dan beranjak pergi dari kedai
makan tersebut. Si anak kecil penjaja kuih itu mengikuti. Sudah
hampir seharian dia menjajakan kuih buatan ibunya. Dia tidak
menyerah pada usahanya.

Anak itu berfikir, "Cuba aku tawarkan kuih ini lagi pada pemuda itu.
Siapa tahu kuih ini dijadikan ole ole buat orang di rumahnya."

Apa yang dilakukan oleh anak kecil itu adalah usaha gigih membantu
ibunya menyambung kehidupan yang serba sederhana ini.

Saat pemuda itu keluar rumah makan, anak kecil penjaja kuih itu
menawarkan kuih dagangannya untuk yang ketiga kali, "Bang mahu beli
kuih saya ?".

Kali ini pemuda itu merasa risih untuk menolak. Kemudian, dia
mengeluarkan wang RM 10 dari dompetnya dan diberikan pada anak kecil
itu sebagai sedekah.

Katanya, "Dik, ambil wang ini. Saya tidak beli kuih adik. Anggap
saja ini sedekah dari saya buat adik."

Anak kecil itu menerima wang pemberian pemuda lalu memberikannya
kepada seorang pengemis yang sedang meminta minta. Betapa
terkejutnya pemuda itu.

"Bagaimana anak ini ? Diberi wang tak mahu malah diberikan pada
orang lain?".

Katanya, "Kenapa kamu berikan wang itu pada pengemis ? Mengapa tidak
kau ambil saja ?"

Anak kecil penjaja kuih tersenyum lucu menjawab, "Saya sudah
berjanji sama ibu di rumah untuk menjualkan kuih buatan ibu, bukan
jadi pengemis. Dan saya akan bangga pulang ke rumah bertemu ibu
kalau kuih buatan ibu terjual habis. Wang yang saya berikan kepada
ibu hasil usaha kerja keras saya. Ibu saya tidak suka saya menjadi
pengemis".

Pemuda itu kagum dengan kata kata yang diucapkan anak kecil penjaja
kuih yang masih sangat kecil buat ukuran seorang anak yang sudah
punya etika kerja bahawa "kerja adalah sebuah kehormatan".
Kehormatan anak kecil itu akan berkurang di hadapan ibunya, bila dia
tidak bekerja keras dan berhasil menjajakan kuih. Dan, adalah
pantangan bagi sang ibu bila anaknya menjadi pengemis. Dia ingin
setiap kali pulang ke rumah dia melihat ibunya tersenyum menyambut
kepulangannya dan senyuman bonda yang tulus dia balas dengan kerja
yang terbaik dan menghasilkan wang.

Akhir cerita, pemuda tadi memborong semua kuih yang dijajakan anak
kecil itu. Bukan kerana kasihan, bukan kerana lapar tapi kerana
prinsip yang dimiliki anak kecil itu "kerja adalah sebuah
kehormatan". Dia akan mendapatkan wang kalau dia sudah bekerja
dengan baik.

No comments: